Skip to main content

Posts

Showing posts from July, 2010

Kelapa Isi Tebal

Pilihlah kelapa yang agak bujur seperti telur ayam. Ataupun tempurung jantannya agak lonjong. Itu tanda kelapa tebal isinya.

Khasiat Hampas Kelapa

Untuk menyuburkan tanaman seperti pokok limau kerisik, pokok jambu atau pokok cili. Taburkan hampas kelapa pada pangkal pokok tersebut. Selain cepat subur, pokok akan selalu berbuah.

Hilangkan Gatal Keladi

1. Potong batang keladi dan rendamkan dalam air yang dicampur isi buah pinang. Biarkan seketika. Kemudian cuci bersih dan bolehlah dimasak 2. Rebus keladi yang telah dipotong sehingga separuh masak. Toskan airnya. Kemudian masak mengikut kesukaan anda.

Daun Kunyit

Sekiranya anda diserang pening atau sakit kepala, ramas beberapa helai daun kunyit bersama sedikit air. Selepas itu sapulah di kepala hingga rata.

Memanaskan Badan

Tumbuk beberapa ketul kunyit hingga hancur. Campurkan dengan sedikit air dan tapiskan. Minum airnya tiga kali seminggu.

Melancarkan Perjalanan Darah

1. Kunyit juga mencegah kulit daripada cepat berkedut. Parut sedikit kunyit dan perah airnya. Amalkan meminumnya. 2. Parut dua ketul isi kunyit dan seketul lempoyang. Kemudian bubuhkan setengah cawan air hingga sebati. Tapis dan campurkan dengan satu sudu besar air limau nipis dan madu. Minum selama tiga hari berturut-turut. Selain menyihatkan bahagian dalam tubuh, ia juga mencantikkan kulit.

Khasiat Kunyit

Isi kunyit dapat menyembuhkan penyakit sengugut. Makan kunyit mentah sebagai ulam ketika makan nasi. Anda akan rasai kemujarabannya.

Cara Bersihkan Isi Kupang

Untuk mengelakkan kupang berpasir ketika dimasak :- Rendam selama 10 minit dengan air biasa. Toskan dan masaklah seperti biasa. Anda akan dapati isi kupang bersih dan tidak berpasir lagi. Kerang, lala dan kepah boleh juga dibersihkan dengan cara ini.

Menyimpan Madu

Masukkan beberapa butir padi ke dalam botol yang berisi madu. Kemudian simpan di tempat yang kering.

Memerahkan Bibir

Sapukan madu pada bibir tiap-tiap malam sebelum tidur.

Mencantikkan Wajah

Campur telur dan madu. Kemudian sapukan pada muka. Lakukan seminggu sekali sebagai masker. Wajah anda akan kelihatan cantik dan berseri-seri.

Menyihatkan Badan

Campurkan madu dengan beberapa biji telur ayam kampung. Minum waktu pagi.

Untuk menghilangkan batuk

Campurkan satu sudu besar madu lebah dengan sedikit air limau nipis ke dalam setengah gelas air. Minum setiap pagi dan malam sebelum makan. Dalam masa seminggu batuk akan hilang.

Bubur

Memasak bubur nasi mengambil masa yang lama. Bagi menimatkan masa, cubalah petua ini : Masak beras hingga kembang. Apabila air hampir kering. Tutupkan api.Biarkan seketika. Kemudian masakkan semula. Bubur nasi akan cepat lembut.

Menyimpan Lebihan Minyak Kelapa

Masukkan beberapa potong ubi kentang ke dalam minyak yang telah kerapkali digunakan untuk menyerap kotoran pada minyak. Oleh itu, minyak boleh disimpan lama dan boleh digunakan.

Mengilatkan Perabot

Perabot rotan selalu berhabuk dan semakin lama, warnanya akan pudar. Untuk mengilatkannya kembali, gosoklah minyak kelapa pada perabot tadi.

Menghindari Kerepek Berminyak

Sukun paling sedap apabila digoreng atau dibuat kerepek. Untuk mengelakkan sukun daripada diserap minyak : Campurkan sukun dengan air dan setengah sudu kecil serbuk soda bikarbonat. Biarkan seketika. Setelah digoreng, didapati kerepek tidak banyak menyerap minyak.

Mengelakkan Minyak Masak Berbau Tengik

1. Untuk mengekalkan rasa minyak masak walaupun telah digunakan ialah masukkan satu sudu kecil santan ke dalamnya. Minyak tersebut tidak akan berbau tengik dan bolehlah digunakan terutamanya untuk menggoreng. 2. Minyak yang telah digoreng boleh disimpan di dalam botol. Untuk mewangikannya, letakkan serai. Kemudian boleh digunakan semula untuk menggoreng.

Memilih Sayur - Sayuran

Kobis : Pilih jenis yang ringan dan rongganya besar-besar. Sawi : Pilih sawi yang berdaun lebar tetapi batangnya kecil. Timun : Pilih timun yang lurus dan pangkalnya kurang warna hijau tua. Tomato : Pilih tomato yang warnanya kehijau-hijauan sedikit. Ubi Keledek : Pilih buah yang lurus dan bersih kulitnya. Bendi : Pastikan hujungnya lembut.

Jeruk Sawi Buatan Sendiri

Sawi dipotong, dicuci bersih dan dijemur selama 4 jam. Gaulkan dengan garam dan biarkan semalaman. Keesokkan harinya, taungkan air beras ke dalam sawi tadi. Kemudian peramkan beberapa hari.

Menyegarkan Timun, Lobak Merah dan Kobis

Potong bahagian atas sayur-sayuran tersebut. Sapukan sedikit garam dan minyak kelapa. Kemudian simpan di dalam peti sejuk.

Menyegarkan Sayuran Berdaun

1. Hiris sayur-sayuran itu terlebih dahulu dan masukkan dalam beg plastik. Kemudian simpan ia di dalam peti sejuk. Cara ini akan membuat sayur-sayuran itu segar selama seminggu. 2. Rendam dua helai kertas kosong berwarna putih di dalam air selama dua atau tiga minit.Kemudian bungkus sayur-sayuran itu dengan kertas tersebut sehingga tidak kelihatan daunnya. Masukkan atau balutkan pula dengan plastik yang lembab. Kesegaran sayur akan bertahan selama 3 atau 4 hari. Cara ini sesuai bagi mereka yang tiada peti sejuk.

Kacang Bendi Tetap Segar

Didihkan air panas dan masukkan satu sudu kecil minyak masak. Kemudian rebuslah kacang bendi tanpa memotong mana-mana bahagian untuk mengelakkan ia dari berlendir. Tetapi, jangan merebus terlalu lama.

Melazatkan Kentang

Kentang enak dimakan tanpa dikupas kulitnya. Gosok kentang dengan hampas kelapa hingga kulitnya bersih. Kemudian cuci dan masukkan ke dalam masakan atau digoreng begitu sahaja.

Agar Tauhu Lebih Tahan

Tauhu lebih tahan jika ia dididihkan sebentar. Kemudian biarkan ia terendam sehingga air itu sejuk sendiri.

Membersihkan Barang Kemas

Ada beberapa cara untuk membersihkan barang kemas. Di sini dipaparkan dua cara untuk membersihkan barang kemas. 1. Rendam barang kemas dalam air suam selama satu jam. Kemudian berusnya dengan ubat gigi menggunakan berus gigi yang lembut. Gosoklah sehingga dakinya hilang. Kemudian cuci dan rendamkan dalam air teh selama beberapa jam. Kemudian keringkan. 2. Rendam barang kemas dalam air asam jawa dan biarkan semalaman. Kemudian gosok menggunakan ubat dan berus gigi.

Menyegarkan Jambangan Bunga

Cara untuk mengelakkan jambangan bunga dari cepat layu ialah dengan cara : Tumbuk beberapa biji panadol hingga hancur. Lembabkan sedikit kapas dan sapukan dengan serbuk panadol tadi. Kemudian balutkan pada pangkal bunga dengan kertas timah.

Menggalakkan Pokok Ros Berbunga

Air cucian beras bukan sahaja boleh digunakan sebagai penghilang bau hanyir ikan tetapi amat baik dijadikan siraman pada pokok bunga. Insya'Allah pokok akan mengeluarkan bunga yang banyak.

Mengembalikan Rasa Sedap Tempoyak Masam

Ketika memasak tempoyak sama ada dengan ikan atau bahan-bahan lain, campurkan dengan serai yang dititik dan daun kunyit. Jika suka, anda boleh juga mencampurkan pati santan. Rasa tempoyak itu akan kembali sedap. Insya-Allah...

Membuat Tempoyak

1. Pilih durian yang masak dengan keadaannya baik. 2. Hancurkan isinya dengan menggunakan sudu. 3. Gaulkan dengan sedikit garam dan gula. 4. Simpan tempoyak di dalam bekas yang bertutup.

Meranggupkan Jering Tua

Tanam jering tersebut ke dalam tanah ataupun pasir. Biarkan selama tiga hari. Setelah itu keluarkan dan bersihkan. Jering akan berasa ranggup apabila dimakan.

Menghilangkan Pahit Ulam

1. Rebus ulam bersama daun keduduk. Apabila ulam sudah masak, keluarkan daun keduduk tersebut. Toskan ulam dan hidangkan dengan sambal atau pencecah yang anda gemari. 2. Rendam pucuk mengkudu dengan air dan garam selama beberapa minit. Kemudian bolehlah dimakan bersama nasi atau dibuat kerabu.

Ulam Pegaga

Bagi anda yang inginkan wajah yang sihat dan berseri. Cubalah petua ini. Ambil beberapa pucuk pegaga dan makan bersama nasi sebagai ulam. Amat berkhasiat untuk kesihatan dan kecantikan.

Menghancurkan Biji Cili

Kita sering menghadapi masalah untuk menghancurkan biji cili setelah dikisar: 1. Masukkan cili dan bahan-bahan lain ke dalam balang pengisar. 2. Tuangkan sedikit minyak masak ke dalam balang pengisar tadi. 3. Kisar sehingga semuanya hancur.

Cili Kisar Tahan Lama

1. Buang biji cili kering terlebih dahulu dan rendam semalaman. Kisarkan sehingga hancur. Rebus bersama sekit minyak masak sehingga kering. Apabila sejuk, masukkan ke dalam bekas kedap udara. Simpan dalam peti sejuk. 2. Masakkan cili dengan air dan sedikit garam. Setelah sejuk bolehlah dikisar hingga hancur. Simpan dalam peti sejuk.

Cili Jeruk Tahan Lama

Celurkan cili yang telah dihiris ke dalam air panas. Biarkan semalaman. Toskan airnya sehingga kering. Kemudian campurkan sedikit cuka, air masak dan masukkan ke dalam bekas yang bertutup.

Mengekalkan Kesegaran Udang

Udang basah memang mudah berbau jika tidak pandai menyimpannya. Cara yang paling mudah ialah dengan cara mengaulkan udang tersebut dengan gula kasar rata-rata setelah membersih dan membuang kulitnya. Kemudian simpan udang itu dalam peti sejuk.

Hindari Bau Busuk Kulit Udang

Siramkan kulit udang dengan air panas.Kemudian barulah dibungkus dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Selain tidak berbau, ia juga mengelakkan lalat daripada menghinggapinya.

Membuang Kulit Sotong

Rendamkan suratkhabar lama bersama-sama dengan sotong. Kemudian, ramaskan suratkhabar pada badan sotong. Pasti kulitnya mudah keluar dan sedia untuk dicuci.

Membersihkan Sotong

Masukkan sotong tersebut dalam air beras dan biarkan selama 10 minit. Kemudian anda akan mendapati bahawa kulit sotong menjadi lekang dan senang dicuci serta baunya juga hilang.

Melembutkan Sotong Kering

Rendamkan sotong terlebih dahulu dalam abu tanah bakar kira-kira setengah jam.

Telur Tahan Lama

1. Bersihkan kesemua telur. Lapkan sehingga kering. Kemudian simpan telur dalam bekas yang berisi beras pulut. Nescaya telur tahan lama. 2. Susunkan telur secara menonggeng ( yang runcing di bawah) agar lebih tahan lama.

Menghilangkan Hanyir Telur Goreng

Masukkan beberapa titis air asam limau ke dalam telur. Kacau sehingga rata selepas itu barulah digoreng.

Mengelakkan Telur Rebus Pecah

1. Didihkan dahulu air dengan garam. Kemudian masukkan telur ke dalam air. 2. Masukkan telur ke dalam plastik yang berlubang atau bekas plastik yang berlubang sebelum memasukkan bekas/plastik ke dalam periuk.

Memilih Telur

Pilihlah yang segar dan tidak retak. Kulitnya kesat. Apabila digoncang dalamnya padat.

Telur Ikan Tidak Pecah

Masukkan telur ikan ke dalam plastik. Rebus lebih kurang lima minit. Keluarkan dari plastik dan masak seperti biasa.

Hilangkan Hanyir Ikan Sungai

1. Siang ikan dahulu dan rendamkan ke dalam air garam selama 15 minit. Gunakan garam kasar. Kemudian cuci dengan air bersih. 2. Gaul ikan dengan sedikit tepung gandum, asam jawa dan garam. Biarkan sekejap dan cuci menggunakan air biasa.

Hilangkan Hanyir Ikan

Air basuhan beras jangan dibuang, ia boleh digunakan untuk membasuh ikan. Setelah ikan dibersihkan, rendam dengan air beras beberapa minit. Kemudian dicuci dengan air.

Ikan Segar Walau Disimpan Lama

1. Cara mengekalkan kesegarannya, siang kesemua ikan tetapi jangan dicuci. Masukkan ke dalam beg plastik dan simpan dalam peti sejuk. Ikan akan tetap segar walaupun di simpan lebih seminggu dalam peti sejuk. 2. Setelah ikan di siang, perapkan dengan beberapa biji buah belimbing buluh dan sedikit garam. Selepas itu cucilah dengan air. Masukkan ikan ke dalam beg plastik dan simpan dalam peti sejuk.